MEMBANGUN KHAZANAH ILMU DAN PENDIDIKAN

Belajar itu adalah perobahan …….

Cerita.dan nasehat

Posted by Bustamam Ismail on November 8, 2007

di kutip dari Putri Qasseh Qaisara. Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang
perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat
tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

 

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.

 

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.

 

Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Tuhan , aku
memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin”

 

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia
sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung
jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan
keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung
seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

 

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang
jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya
semula dan berdoa lagi. “Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil
bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana
inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini
kepada tempe, Amin”.

 

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit
bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila
tempenya masih tetap begitu!!
Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula
didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum
terkabul.

 

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang
untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan
tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar
sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua
tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan
terjadi semasa perjalanannya ke pasar.

 

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya
untuk berdoa. “Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku.
Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah
keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun
berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa
di dalam hatinya.

 

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya.
Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah
menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang
ada.Perlahan- lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan
melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!!
Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.

 

Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada
Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak
adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca
rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa
mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang
yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

 

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi,
para pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan
sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk
lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini
tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut
hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan
akan menolongnya.

 

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat
pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali
terakhir, “Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku
yang belum menjadi ini.”

 

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.”Maaf ya,
saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum
menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk
mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”

 

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab
sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun
pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab
sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam
hatinya “Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi.
Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.

 

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun
penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar
tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan
bersyukur pada Tuhan.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi
itu.

 

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa
hendak membeli tempe yang belum jadi?”
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England
teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan
dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum
jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe
yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di
sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

 

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya
sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

 

Moral:

 

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu
berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita
perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

 

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa
terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan
doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan
kita.

 

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: