MEMBANGUN KHAZANAH ILMU DAN PENDIDIKAN

Belajar itu adalah perobahan …….

Sholat Ikhtikharah

Posted by Bustamam Ismail on August 31, 2007

shilat.jpgBila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangankita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas.
Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini.
Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh
Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari.

Mahfum Hadis:

Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami
Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah
dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka
hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku
mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu
sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya
Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat
mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau
amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau
mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama
ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku,
kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan
permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan
kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan
kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan
natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku
dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian
jadikanlah daku meredhainya”

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita
mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa
contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang
terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan
nama sebenar.

Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa,
akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia
melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang
agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi
tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa.
Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap
dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu
terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan
itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa
membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang
diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan
dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun
dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke
sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah
mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi
ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan
dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya
kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui,
tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana
pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan
bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah
untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya
mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun
telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang
untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi
pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang
terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun
sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga
bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah
lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis
sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat
Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata
langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Dalam contoh yang lain pula penulis ingin berkongsi dengan satu
kisah yang disampaikan kepada penulis seperti
berikut :-

Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang
anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar.
Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar
yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak
menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami
isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang Hati
Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk
menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru
RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia
memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan
Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia
berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah
tersebut.

Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan
sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima
juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit
yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu
interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah
tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan
kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak
Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak
gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya
tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke
Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan
oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku
ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika
tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang
dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran
dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa
agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah
melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih
oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan
Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia
tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh
kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan
rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga
lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20
hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh
terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum
membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat
pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu
dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum
membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat
membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah
segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari
sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah
memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh
pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan
Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah.
Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal
Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat
Istikharah adalah seperti berikut;

1. Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2
pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam
waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
2. Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana
Allah ta’ala”
3. Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-
Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
4. Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas
atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
5. Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah
dan selawat dahulu)

Terjemahan Doa :

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku
mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu
sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya
Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat
mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau
amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau
mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik
bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta
natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia
bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku
padanya.

Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan
hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam
urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang,
maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku
sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari
hadis riwayat Imam Bukhari)

Untuk penjelasan yang lebih mendalam berkenaan Solat Istikharah ini
anda patut dengar kupasan yang panjang lebar selama 47 minit tentang
solat ini oleh Tuan Guru Dato Dr. Haron Din.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua

Wallah hu ‘alam.

2 Responses to “Sholat Ikhtikharah”

  1. Siti R said

    Terima kasih sebanyak banyak nya. Selepas membaca panduan ini saya dapat lebih memahami cara sembahyang istikharah.

  2. nurhasnah said

    Alhamdulillah, artikel ini kian menguatkanku untuk lebih intens berdialog dg Allah saat menghadapi aneka masalah, terim kasih untuk penulis, jzkllh khrn ktsrn, salam; Nurhasnah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: